Tuesday, April 22, 2008

BERFIKIR secara HOLISTIK

Setiap pancaindera yang dianugerahkan Allah kepada kita mempunyai peranan dan kaitan rapat antara satu sama lain. Ianya saling memerlukan dan bergantungan antara satu sama lain. Tanpa salah satu darinya, kita akan jadi pincang.
Apa yang dilihat, didengar, dirasa, dihidu dan disentuh sudah pastinya mempunyai kaitan. Bak kata pepatah “cubit paha kanan, paha kiri terasa”.

Begitu juga dengan cara kita berfikir. Ia seharusnya di buat secara holistik, yakni berfikir secara menyeluruh. Berfikir secara menyeluruh tidak menyempitkan seseorang.
Malah ia membawa kita untuk meneliti, mengkaji, menilai dan membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara berasaskan data dan fakta yang lebih luas dan menyeluruh.
Ia mampu membimbing kita berfikir dengan waras dan betul, mencari pendekatan yang lebih tepat dan menghasilkan natijah yang lebih adil dan sempurna.

Remaja Islam amat dituntut berfikir secara holistik. Ini adalah kerana jiwa dan emosi remaja amat mudah terpengaruh dengan faktor hiburan, kesukaan, dan berfoya-foya.
Tanpa berfikir holistik tentang akibat, para remaja mudah terjebak dengan perangkap kebebebasan, hiburan dan keseronokan duniawi yang boleh menyebabkan mereka hilang peribadi dan integriti diri, rugi dan menyesal di kemudian hari.

Berfikir holistik bagi remaja tidak semestinya menolak bulat-bulat keperluan untuk berhibur, berseronok dan berkebebasan. Sebelum melakukan sesuatu, kita fikirkanlah tentang akar sebab (root-causes), baik-buruk dan akibat yang bakal berlaku sekiranya sesuatu itu dilakukan.

Sebelum belajar merokok umpamanya, fikirkanlah dahulu tentang akibat jangka panjang amalan tersebut, terutama tabiat ketagihan yang terlalu payah untuk dikikis kemudiannya. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna.

Pendekatan ini melatih kita mencari opsyen terbaik bagi mengatasi sesuatu isu. Ia menjadikan kita berpandangan jauh, tidak gopoh dalam membuat penilaian dan keputusan, tidak berfikir secara serpihan tetapi melihat sesuatu secara totaliti atau menyeluruh.

Biasakanlah dengan pemikiran secara holistik kerana ia mampu memberi kesan baik dan positif terutamanya apabila berdepan dengan tanggungjawab dan cabaran yang pelbagai.
InsyaAllah kita akan mampu mengendalikannya dengan lebih berhemah, saksama, strategik dan bijaksana.

No comments: