Wednesday, May 28, 2008

Domain PENGARAH KPTM Kampus Cawangan Alor Star

The following is a document I prepared as guideline in executing my responsibility as Pengarah of KPTM Alor Star (Jan 2005 - Feb 2007)

PEMBUDAYAAN DAN PEMANTAUAN – domain Pengarah

Melakukan perubahan adalah mudah, tetapi untuk memastikan perubahan yang dilakukan itu dapat membuahkan hasil seperti yang diinginkan adalah tidak semudah yang difikirkan. Menyedari hakikat ini, maka sebarang perubahan yang dilakukan harus disusuli dengan langkah-langkah pengukuhan dan pemantauan.

Bagi memastikan perubahan ini berlaku secara menyeluruh, setiap entiti dalam KPTM harus diberi peluang untuk memahami kehendak dan falsafah perubahan yang digariskan oleh pihak pengurusan atasan. Pihak pengurusan di semua peringkat pula hendaklah menunjukkan contoh yang baik kepada staf bawahannya. Pada tahap ini kritikan dan teguran membina, sekiranya ada, harus disampaikan dengan cara yang paling berhemah.

Setiap perubahan hendaklah diimplementasikan secara konsisten dalam segala gerak kerja dan tindak-tanduk kita. Dengan itu, seluruh warga KPTM tidak akan ragu-ragu untuk mengikut, menghayati dan membudayakan perubahan tersebut dalam setiap amalan harian mereka.

Pembudayaan Staf

Nilai dan etika merupakan inti falsafah dan keutamaan kita dalam membentuk sikap dan tingkah laku harian kita. Ia memberikan satu haluan serta garis panduan yang jelas kepada semua staf. Nilai-nilai bersama yang dimaksudkan adalah seperti berikut :

Kesyukuran
Percaya kepada perlunya manifestasi kesyukuran ke atas nikmat yang dikurniakan kepada kita.
Berkhidmat untuk Tuhan, Negara dan Manusia dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan sebagai amal jariah.
Mengamalkan perbelanjaan berhemah untuk mengelakkan pembaziran.

Kecemerlangan Dan Integriti
Percaya dan berusaha ke arah kecemerlangan dan integriti dalam semua pemikiran, usaha, kerja dan penghasilan kita.

Pendidikan Berterusan
Percaya bahawa pengurusan adalah satu pembelajaran berterusan baik di dalam bilik kuliah mahupun di tempat kerja.
Membudayakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan warga KPTM.
Mengamalkan budaya membaca dan menulis khususnya bahan yang berunsur akademik.
Komunikasi Dan Saling Menghormati
Percaya dan berusaha ke arah komunikasi yang jelas, berkesan dan terbuka bagi memperolehi ide, maklum balas dan hasil yang dihajati dalam interaksi sesama kita dan dengan pelanggan-pelanggan kita.
Percaya kepada nilai saling menghormati untuk mewujudkan suasana hubungan kerja serta komunikasi yang harmonis dan berterusan di kalangan staf, tenaga pengajar, pelajar dan masyarakat pada keseluruhannya.

Muhasabah Diri
Percaya mengenai perlunya diwujudkan kaedah muhasabah atau penilaian diri yang berterusan bagi membolehkan kita mengambil langkah-langkah untuk membetulkan kesilapan serta memperbaiki kelemahan kita.

Pembudayaan Pelajar

Kolej Poly-Tech MARA mendukung konsep dan keperibadian yang terserlah. Atas dasar itu KPTM Cawangan Alor Star memperkenalkan proses pembudayaan pelajar untuk diamalkan oleh semua pelajar KPTM.

Pembudayaan pelajar merupakan unsur pelengkap ke arah pembentukan budaya dan identiti pelajar Kolej ini melalui kombinasi yang padu dengan budaya staf dan budaya persekitarannya. Konsepnya adalah seperti berikut :

Pembentukan Intelek dan Pembersihan Jiwa
Berdaya fikiran tinggi.
Berhemah tinggi dan berbudi bahasa.
Berjiwa halus dan berakhlaq mulia.

Bahasa Pelajar
Fasih, jelas dan persis.
Ketepatan berbahasa bertunjangkan budi.
Ide bernas dan bernilai.

Rupa Diri
Sentiasa anggun dan kemas.
Bersih dan terbelai.

Rupa Pakaian
Bersih, kemas, wajar dan sesuai dengan suasana seperti yang termaktub dalam Etika Pakaian Kolej.

Gerak Diri
Sentiasa tangkas, meyakinkan dan berkeintelektualan.

Sikap
Sentiasa ke hadapan, positif, pintar dan kritis.
Mempunyai tanggungjawab, kesediaan untuk berubah dan gigih mendalami ilmu.

PROAKTIF, PROGRESIF, PROFESIONAL

1 comment:

Muhammad Maharoff said...

Thanks for the info baba.. Lepas ni blh aa i apply information yang u state here to become rektor of this college.. Ehehhehe.. ^_^