Tuesday, September 23, 2008

PARACETAMOL & ASMA

Sumber: "Kerap ambil paracetamol boleh asma", Berita Harian - 23 Sept 2008.

Pengambilan kerap paracetamol boleh meningkatkan risiko seseorang itu mengidap asma sehingga hampir tiga kali ganda, tetapi ubat penahan sakit lain tidak menunjukkan kesan sama, menurut kajian.

Penyelidik menganalisis kekerapan penggunaan ubat penahan sakit itu pada lebih 500 orang dewasa yang mengidap asma dan 500 penduduk sihat di beberapa negara Eropah.

Hasil kajian menunjukkan risiko mengidap asma meningkat dengan penggunaan paracetamol sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Lebih lima juta penduduk Britain mengidap asma, termasuk 1.4 juta kanak-kanak dan penyakit itu menyebabkan 70,000 kemasukan ke hospital dan 1,400 kematian setiap tahun.

Sebahagian pengidap penyakit itu memilih paracetamol kerana sensitif kepada aspirin atau ubat anti-radang bukan steroid seperti Nurofen.

Kajian diterbitkan kelmarin dalam European Respiratory Journal. Salah seorang penulisnya, Dr Seif Shaheen, dari Kolej Imperial London, berkata: "Bukti epidemiologi semakin banyak yang menunjukkan kaitan antara paracetamol dan asma."

"Sejak tahun 2000, beberapa penerbitan melaporkan kaitan ini. kami juga menunjukkan kelaziman asma lebih tinggi di negara yang mencatatkan kadar jualan tinggi paracetamol."

Penyelidik percaya pengambilan kerap paracetamol menurunkan paras "antioxidant glutathione", yang ditemui dalam saluran pernafasan dan hidung, bahan yang melindungi paru-paru dari pencemaran udara dan asap tembakau serta kesan membahayakan unsur lain.


No comments: